PENGENALAN BUKU TEKS

PENGENALAN

Buku Teks ialah buku yang digunakan sebagai bahan asas yang utama dan sumber maklumat mengenai mata pelajaran atau bidang yang tertentu. Buku teks juga mencerminkan nilai masyarakat, harapan dan cita-cita sesebuah negara. Di negara kita buku teks memuatkan perkara seperti Perpaduan Masyarakat, Rukun Negara, Masyarakat Penyayang dan Wawasan 2020.

Buku teks ditulis berdasarkan kehendak Kurikulum, Sukatan Pelajaran (SP) dan Huraian Sukatan Pelajaran (HSP). Sukatan Pelajaran menjelaskan objektif, organisasi kandungan serta strategi pengajaran dan pembelajaran. Huraian Sukatan Pelajaran pula menjelaskan objektif dan organisasi kandungan mengikut tahun persekolahan. Penulisan buku teks juga dikehendaki menepati keperluan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekanakan matlamat pendidikan demi memastikan perkembangan potensi pelajar secara menyeluruh, seimbang dan sepadu.


Beberapa pengertian tentang buku teks:

UNESCO
A textbook is a book which an exposition of generally accepted principles in one subject, intended primarily as a basis for instruction in classroom or pupil-book-teacher situation.

Cambridge International Dictionary of English
A book that contains detailed information about a subject for people who are studying that subject.

Altbach (1987)
Textbooks are in a way, an illustration of national will and of national policy in many countries.

Gopinathan (1983)
Buku teks ialah alat yang digunakan secara meluas dalam bilik darjah walaupun terdapat pelbagai alat bahan bantu mengajar yang canggih dalam era teknologi maklumat pada masa ini.

Dent (1955)
Buku teks ialah alat perniagaan yang penting dan sukar diganti dengan alat lain.


ANATOMI BUKU TEKS

Sesebuah buku secara umumnya mempunyai empat bahagian iaitu:
  1. Bahagian kulit buku
  2. Bahagian awalan
  3. Bahagian teks (kandungan)
  4. Bahagian akhiran
Maklumat yang dipaparkan pada setiap bahagian buku berdasarkan spesifikasi buku teks mata pelajaran berkenaan.



Bahagian Kulit Buku

Kulit Buku Teks terdiri daripada 3 bahagian, iaitu kulit depan, kulit belakang dan tulang belakang. Setiap bahagian memaparkan maklumat seperti:

Kulit Depan
  1. Bahagian luar kulit depan mengandungi:
    • Judul Buku
    • Nama penulis/penyusun/penterjemah
    • Logo penerbit
  2. Bahagian dalam kulit depan mengandungi:
    • Rukun Negara

Kulit Belakang
  1. Bahagian luar kulit belakang mengandungi:
    • Harga buku
    • Berkod
    • Nombor ISBN (International Standard Book Number)
    • Perkataan 'Tidak Boleh Dijual' untuk buku teks Simpanan Buku Teks
  2. Bahagian dalam kulit belakang mengandungi:
    • Akad dan Cop SPBT

Tulang Belakang
  • Logo KPM
  • Judul buku
  • Logo penerbit
  • Buku yang kurang 96 halaman tidak mempunyai maklumat pada tulang belakang buku


Bahagian Awalan

Secara umumnya bahagian awalan buku teks Kementerian Pelajaran Malaysia mempunyai halaman-halaman berikut:

Halaman judul
  1. Judul buku
  2. Nama penulis/penyusun/penterjemah
  3. Nama editor
  4. Nama ilustrator
  5. Nama pereka bentuk
  6. Logo dan nama penerbit
  7. Tahun terbitan
  8. Perkataan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah/Menengah

Halaman hak cipta
  1. Cap nombor siri perakuan buku teks Kementerian Pelajaran Malaysia
  2. Nombor ISBN (International Standard Book Number)
  3. Tahun terbitan pertama
  4. Simbol hak cipta
  5. Maklumat hak cipta
  6. Nama dan alamat penerbit yang lengkap
  7. Nama pengatur huruf
  8. Maklumat jenis dan saiz muka taip
  9. Nama dan alamat pencetak

Halaman penghargaan

Mengandungi teks penghargaan kepada pemilik hak cipta bahan dalam buku atau pihak yang memberi sumbangan kepada penerbitan buku berkenaan.


Halaman kandungan

Mengandungi senarai kandungan buku berkenaan mengikut turutan dimulai bahagian awalan, kandungan, dan akhiran beserta rujukan halalan.


Halaman kata penghantar

Mengandungi teks Kata Penghantar Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.


Halaman pendahuluan

Mengandungi maklumat tentang tujuan penerbitan, latar belakang penerbitan dan penekanan penting dalam penggunaan buku berkenaan.



Bahagian Teks (Kandungan)

Bahagian bahan teks atau kandungan buku yang disusun mengikut bab, tajuk dan sub tajuk mengikut keperluan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran mata pelajaran berkenaan.



Bahagian Akhiran

Secara umumnya bahagian akhiran mengandungi maklumat-maklumat untuk halaman-halaman berikut:

Lampiran terpilih

Lampiran menyampaikan maklumat tambahan seperti carta, jawapan kepada soalan-soalan dan perkara-perkara lain yang ditentukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.


Glosari

Mengandungi senarai istilah beserta takrifnya yang disusun mengikut abjad.


Senarai rujukan

Senarai bahan rujukan termasuk bahan laman web yang digunakan dalam penerbitan buku dan disusun mengikut abjad.


Indeks

Perkataan baru yang dipelajari dalam buku berkenaan nombor halaman yang berkenaan.
HARGA BUKU TEKS

Salah satu fungsi Bahagian Buku Teks adalah mengawal harga buku teks yang diterbitkan untuk kegunaan murid di sekolah. Bagi melaksana tujuan tersebut, terdapat satu unit khas yang fungsi utamanya menguruskan hal berkaitan harga buku teks. Kawalan harga buku teks dibuat dengan mengambil kira tahap kemampuan ibu bapa murid serta peruntukan kewangan kerajaan.


Kos terlibat dalam Harga Buku Teks

Secara umumnya harga sesebuah buku teks merangkumi tiga kategori kos iaitu:


  1. Kos permulaan
    Kos penyediaan di peringkat awal penerbitan seperti bayaran fotostat, bayaran terjemahan, bengkel.
  2. Kos pracetak
    Kos pembinaan manuskrip hingga ke peringkat filem.
  3. Kos percetakan
    Kos mencetak buku, termasuk kos penjilidan dan kemasan kulit.


Prinsip Penetapan Harga Buku Teks

Prinsip yang digunakan dalam penetapan harga buku teks adalah seperti yang berikut:

  1. Melibatkan semua kos yang terlibat dalam penerbitan buku.
  2. Menggunakan kadar kos komponen dalam penerbitan dan percetakan yang telah dipersetujui oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
  3. Menggunakan formula penetapan harga buku yang diluluskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
  4. Menepati spesifikasi buku berkenaan.
  5. Mengambil kira konsep serta komponen pakej buku tersebut.
  6. Mengambil kira proses kerja yang terlibat dalam penerbitan buku.
  7. Mengambil kira bilangan naskhah buku yang akan dicetak.
  8. Melibatkan Nilai Faktor Tokokan yang ditetapkan, mengikut kaedah perolehan.
  9. Mengambil kira aspek pengurusan, hak cipta, pengedaran dan keuntungan.


Penetapan Harga Buku Teks

Pengiraan cadangan harga suatu judul buku teks hanya dapat dibuat setelah semua maklumat dan data berikut diperoleh:

  1. spesifikasi umum buku teks;
  2. anggaran bahan grafik;
  3. jumlah anggaran pesanan atau cetakan; dan
  4. kos-kos yang berkaitan dalam formula pengiraan harga buku teks, seperti harga kertas, harga dakwat, filem, dan kos cetak serta jilidan.

Cadangan harga buku teks dibentang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harga Buku Teks, Kementerian Pelajaran Malaysia. Jawatankuasa bermesyuarat untuk membuat pengesahan cadangan harga ini.

Pada masa yang sama, Penerbit yang terlibat mengira dan mencadangankan harga buku teks kepada Bahagian Buku Teks, berdasar kepada spesifikasi buku. Cadanga harga penerbit digunakan sebagai asas dalam mesyuarat runding harga diantara penerbit dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Satu harga yang sesuai dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak ditetapkan untuk dijadikan sebagai Harga Buku Teks sebenar, dan harga tersebut dicetak dikulit belakang semua buku teks terlibat.